Monday, March 11, 2013

Palestin: Tanggungjawab Persaudaraan Dan Kemanusiaan


Palestin: Tanggungjawab Persaudaraan Dan Kemanusiaan


Pembunuhan ganas yang dilakukan oleh Yahudi Israel di Gaza, Palestin amat memilukan. Ia bukan sahaja mencabar perasaan persaudaraan Islam atau ukhuwwah islamiyyah kita, bahkan ia mencemar dan mengotori nilai kemanusiaan sejagat.

Ketika artikel ini ditulis sudah hampir 400 rakyat Gaza yang dibunuh kejam. Di mana Amerika yang kononnya berjuang memerangi pengganas? Pelindung Israel tersebut pantang ada kegiatan yang dianggap ganas yang dilakukan mereka yang mendakwa muslim terus sahaja dia akan besar-besarkan dan tindakan memeranginya secara membabi buta akan dilancarkannya.

Namun setiap kali Israel melakukan keganasan, dialah yang akan mempertahankannya. Tidak jika Amerika itu digelar syaitan. Bahkan ketika Gaza diserang ganas oleh Israel ketika ini, Bush mengistiharkan HAMAS itulah pengganas. Malanglah umat Islam jika masih ingin mengharapkan dari Amerika.
palestin1.jpg
Demokrasi yang kononnya hendak dijuarai oleh Amerika di dunia Arab hanyalah permainan politik semata. Umpamanya Mesir, sekalipun tampuk kuasa yang ada pada hari ini meminggirkan demokrasi dan mengkhianatinya, namun tampuk tersebut terus dipertahankan oleh Amerika disebabkan berbagai kepentingannya.
Antaranya, Mesirlah pada hari ini yang menghalang kemasukan bantuan melalui sempadannya dengan Palestin. Sukar bagi syaitan berwatak malaikat. Saya tidak pasti dengan lobi Yahudi yang kuat dalam politik Amerika, apakah Obama akan mampu berbuat sesuatu?
Beberapa hari saya menyertai demontrasi membantah kekejaman Israel di hadapan Kedutaan Israel di London. Bersama saya Saudara Maszlee Malik yang sedang menyiapkan Ph.D di sini. Beliau banyak menulis dan membabitkan diri dalam isu-isu Palestin. Juga Saudara Wan Saiful Wan Jan, orang melayu yang aktif dalam politik British dan menjadi calon Parti Liberal Konservatif di UK ini.
Ramai yang menyertainya. Bukan sahaja orang Islam dan Arab, turut sertai juga mereka yang bukan muslim yang terdiri daripada ‘orang putih dan tidak putih’ UK ini. Dato’ Seri Shahidan Kassim yang sekali lagi datang ke London juga turut hadir.
Selama seminggu demonstasi berjalan di London. Bukan sahaja di hadapan Kedutaan Israel, orang ramai turut berdemontrasi di hadapan Kedutaan Mesir kerana negara tersebut menutup sempadannya untuk bekalan makanan dan ubatan disalurkan kepada rakyat Palestin.
Hari Sabtu (hari artikel ini ditulis) demontrasi besar di seluruh London akan diadakan. Bantahan dibuat untuk menyelamatkan rakyat Palestin. Ia melepasi batasan kepuakan atau kepartian yang sempit. Jika sesiapa yang hendak membantah Israel pun masih nak kempen parti, ternyata otaknya sama dengan Israel.
Demonstrasi sebegini, mempunyai peranannya yang tersendiri. Saya juga mengharapkan umat Islam dan masyarakat dunia mengadakannya. Ya, bagi umat Islam sepatutnya tugasan kita lebih besar daripada sekadar tunjuk perasaan. Kita diwajibkan membantu saudara seislam kita yang ditindas atau dikejami dengan harta dan nyawa kita.
Firman Allah: (maksudnya)
“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas yang terdiri daripada kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya zalim, dan jadikanlah bagi kami daripada pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh). Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan taghut (pelampau). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah”. (Surah al-Nisa, ayat 75-76).
Berdasarkan ini, kata al-Imam al-Jasas (wafat 370H):
“Adalah sesuatu yang diketahui umum bahawa telah menjadi iktikad seluruh kaum muslimin; apabila penduduk sesuatu negeri (kaum muslimin) dalam ketakutan dari serangan musuh, dan mereka tidak mampu menghadapinya merasa terancam negeri, nyawa dan kaum mereka, maka ketika itu wajib ke atas seluruh umat untuk keluar mempertahankan kaum muslimin dari serangan musuh. Ini adalah perkara yang tiada khilaf lagi di kalangan umat. Tiada sesiapa pun yang menyatakan harus dibiarkan ditumpahkan darah kaum muslimin” (Abu Bakr al-Jasas, Ahkam al-Quran, 4/312, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-`Arabi).
Namun atas kekangan keadaan yang ada. Ramai para pemimpin umat Islam yang tunduk kepada kehendak Amerika, lalu mereka menjadi pelindung secara langsung atau tidak langsung kepada Israel. Lihat sahaja Mesir yang sanggup menutup sempadannya sehingga bantuan makanan dan ubatan tidak dapat sampai kepada rakyat Palestin, sehingga rakyat Palestin tidak dapat melepaskan diri kekejaman Israel.
Kita umat Islam menjadi umat yang tidak terdaya. Bukan sahaja bertindak, bahkan bersuara pun ramai yang takut. Tidak ramai pemimpin seperti Tun Mahathir Mohamad yang lantang dan berani untuk mengkritik dan berusaha membantah Amerika dan Israel. Ramai yang lain bergantung rahmat kepada Amerika. Bahkan bukan sedikit yang sedang ‘mengidam kerusi kuasa’ bertawakal harap dari Amerika.
Maka, di saat ini, sekurang-kurangnya demontrasi, atau apa sahaja bantahan yang tidak bercanggahan dengan Islam hendaklah dilakukan oleh umat Islam yang tidak berkemampuan. Demikian juga bantuan kewangan. Di Malaysia, sepatutnya mereka yang memegang tampuk-tampuk pentadbiran agama, sama ada yang berada di atas kerusi politik, atau istana perlu menjadi kelompok yang paling lantang membantah dan menghulurkan bantuan.
Saya terharu ketika berjumpa dengan sekumpulan wanita British yang tidak beragama Islam, mengikat serban Palestin di tengkok mereka dan memberitahu kami mereka akan mengambil cuti seminggu untuk menyertai bantahan terhadap Israel. Mereka mengedarkan risalah tentang kekejaman Israel.
Malanglah, jika yang mereka yang seperti ini membantah Israel, tetapi golongan yang diberikan amanah menjaga agama tenggelam dalam keempukan takhta dan membisu seribu bahasa. Di mana pula Majlis Fatwa Kebangsaan ketika ini? Tidak adakah fatwa tentang apakah kewajiban umat Islam dalam isu Palestin? Setelah berletihan dengan isu yoga dan pengkid, tidakkah mahu difikirkan isu Palestin pula?
Jika tidak, malanglah bagi umat Islam yang terdedah kepada dunia berita dan maklumat, tiba-tiba tidak mengambil endah tentang apa yang berlaku di Palestin dan tanggungjawab muslim membela saudara-mara kita kaum muslimin. Sabda Nabi s.a.w:
“Bandingan orang-orang mukmin dalam kasih-sayang, kesian dan simpati sama seperti satu jasad. Apabila satu anggota merasa sakit, maka seluruh angota lain turut berjaga malam dan demam” (Riwayat Muslim)
Islam bersikap adil. Islam tidak pernah menyatakan setiap mereka yang tidak menganut Islam itu adalah musuh Islam. Demonstrasi di seluruh dunia pada hari ini turut dilakukan oleh mereka yang bukan Islam. Islam hanya bermusuh dengan mereka yang melancarkan permusuhan dan kezaliman kepada umat Islam. Samada permusuhan itu atas kebencian kepada agama ini, atau atas sikap yang ingin menzalimi orang lain.
Kemudian, Islam tidak menerima dan membantah kezaliman di mana sahaja ia dilakukan. Samada ke atas muslim atau bukan muslim, samada kepada insan atau binatang dan alam. Kita membantah kekejaman ke atas saudara seakidah kita di Palestin atas nama Islam dan kemanusiaan. Orang lain membantah atas dasar kemanusiaan.
Jika mereka yang bukan Islam dizalimi, kita tetap akan membantah atas dasar Islam dan kemanusiaan. Ini kerana prinsip Islam merangkumi prinsip kemanusiaan sejagat. Namun jika ada yang langsung tidak membantah, maka dia tiada prinsip Islam dan prinsip kemanusiaan.

Ramadan, al-Quran dan kita


Ramadan, al-Quran dan kita

RAMADAN, AL-QURAN DAN KITAProf Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Ramadan dan al-Quran satu ikatan yang tersimpul mati. Apabila disebut Ramadan, di samping puasa, kita akan teringatkan penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran). Bulan Ramadan bulan yang diturunkan dalamnya al-Quran. Penurunan al-Quran itu dua peringkat; pertama, dari Luh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah (langit dunia). Kedua, dari langit dunia kepada Nabi s.a.w secara berperingkat-peringkat dalam tempoh sejak Nabi Muhammad ditabalkan menjadi rasul sehingga baginda wafat iaitu selama 23 tahun.
Para sarjana tidak berbeza pendapat bahawa al-Quran turun (Nuzul al-Quran) dalam bulan Ramadan. Ini kerana Allah sendiri yang menjelaskan bahawa al-Quran itu turun dalam bulan Ramadan. Firman Allah: (maksudnya)
“Bulan Ramadan yang Kami turunkan dalamnya al-Quran yang menjadi pertunjuk untuk manusia” (Surah al-Baqarah, 185).
Namun begitu sarjana berbeza pendapat tentang berapa haribulankah Ramadan penurunan itu berlaku? Ada yang berpendapat ia diturunkan pada 21hb Ramadan. Pendapat ini dipegang oleh beberapa orang ulama, antaranya tokoh Sirah yang terkenal al-Syeikh Safiyy ar-Rahman al-Mubarakfuri seperti yang beliau sebut dalam karyanya Rahiq al-Makhtum. Ada juga yang berpendapat 24hb Ramadan kerana bersandarkan hadis riwayat al-Imam Ahmad yang menyebut: “…Allah turunkan al-Quran pada 24hb Ramadan”. Hadis ini disahihkan oleh sebahagian ulama, dihasankan oleh sebahagian yang lain. Terdapat juga sarjana yang mendaifkannya disebabkan kritikan terhadap salah seorang rawi iaitu Imran bin al-Qattan. Namun ada riwayat lain daripada Ibn ‘Abbas yang boleh menyokong riwayat ini. Di sana ada lain-lain pendapat tentang haribulan Nuzul al-Quran ini.
Di tempat kita biasanya kita mendengar tarikh Nuzul al-Quran pada 17hb Ramadan. Ini juga salah satu pendapat yang telah sesetengah sarjana kemukakan. Pun begitu pendapat ini mendapat kritikan sebahagian sarjana yang lain atas beberapa alasan. Antaranya, al-Quran sendiri menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan pada Malam al-Qadr (Lailatul Qadar). Ini seperti yang Allah sebut dalam Surah al-Qadr: (maksudnya)
“Sesungguhnya Kami telah turunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr” (ayat 1).
Hadis-hadis Nabi s.a.w pula banyak yang menjelaskan bahawa Malam al-Qadr itu berlaku pada salah satu dari sepuluh malam yang akhir bulan Ramadan. Maka, sepatutnya penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran) dalam lingkungan sepuluh yang akhir. Tokoh ilmu al-Quran yang terkenal al-Imam al-Zarqani menyebut dalam karyanya Manahil al-‘Urfan:
“Kemudian di sana ada pendapat yang menyatakan bahawa pemulaan Nuzul al-Quran itu pada 17hb Ramadan. Itulah merupakan Malam al-Qadr menurut sebahagian pendapat. Namun pandangan itu menyanggahi pendapat yang masyhur yang disokong oleh hadis sahih”. (1/52, Beirut: Dar al-Fikr).
Apapun perbezaan pendapat yang ada, kesemua umat akur bahawa al-Quran itu turun pada bulan Ramadan. Sarjana hanya berbeza pendapat tentang haribulannya sahaja. Masing-masing telah mengemukakan alasan mereka.
Penghayatan
Lebih penting dari itu semua, kita hendaklah menghayati tujuan al-Quran itu diturunkan kepada manusia. Ia bukan sebuah kitab sekadar untuk dibaca dan diperlagukan tanpa memahami tujuan ia diturunkan. Jika ramai orang boleh membaca al-Quran, melagukannya, menghiasinya dengan ukiran dan solekan yang indah namun enggan mendalami dan menghayati tujuan penurunannya, maka al-Quran tidak akan berfungsi dalam kehidupan manusia. Ia seakan seorang pesakit yang membaca jadual ubatnya, menulisnya dengan indah dan cantik tetapi tidak memakannya. Firman Allah: (maksudnya):
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”. (Surah al-Baqarah, 185).
Itulah tujuan penurunan al-Quran. Ia menjadi petunjuk, menjelaskan petunjuk tersebut serta memampukan pembacanya membezakan antara yang benar dan yang salah. Antara haq dan batil. Itulah cahaya insan dalam menerangi cabaran kehidupan di dunia ini. Hal ini tidak mungkin diperolehi jika kita sekadar berlagu dan menggantungnya di dinding rumah dan pejabat tanpa melakukan tadabbur (penelitian kandungan). Allah menyebut dalam Surah al-Israa: (maksudnya)
“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul, dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. dan bahawa orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya”. (ayat 9-10)
Kita semua ada kelemahan, kita juga mungkin tidak berjaya menjadi insan yang melaksanakan seratus peratus isi kandungan al-Quran tetapi kita sentiasa wajib beriman bahawa jalam hidup ini ialah mengikuti isi kandungan al-Quran, bergerak dan berusaha menghayatinya dari masa ke semasa adalah tanggungjawab seorang yang beriman. Kejayaan kita ialah dengan memahami dalam melaksanakan isi kandungan al-Quran. Kita hendaklah membaca al-Quran sehingga dapat membezakan antara yang benar dan yang salah. Antara yang ikhlas dan yang pura-pura. Antara yang membela kebenaran dan yang memperjudikan kebenaran. Ini amat penting sepanjang masa, apatahlagi di zaman dunia yang penuh kekaburan dan kekeliruan. Tidak berpada sekadar melagukan, bertanding dan menggantung di dinding-dinding tanpa memperdulikan isi yang tersurat dan tersirat di sebalik tulisan yang tersemat.
Jangan juga kita lupa bahawa pada zaman ini akan ada yang menggunakan al-Quran untuk mendapatkan wang ataupun harta dunia dari manusia. Sabda Nabi
“Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, bertaraf hasan).
Jangan hairan jika kita bertemu dengan mereka yang meminta wang bacaan al-Quran kononnya sebagai bayaran pahala kepada si mati, ataupun membaca al-Quran dengan segala lengangan lagunya hanya semata-mata untuk mendapatkan wang. Bukan itu tujuan al-Quran diturunkan!

Thursday, October 25, 2012

NEW INTAKE 2013 QURANIC GENERATION INTEGRATED ISLAMIC SCHOOL

NEW INTAKE 2013
QURANIC GENERATION INTEGRATED ISLAMIC SCHOOL

Wednesday, May 2, 2012

Wajib Segera Qada` SOLAT


Wajib bersegera qada solat

Wajib bersegera qada solat
SOALAN:SAYA ada kemusykilan di dalam mengqada solat. Contohnya, jikalau kita terlepas solat subuh adakah kita perlu gantikannya segera pada waktu itu?.
Atau selepas waktu solat zohor? Sebabnya saya ada mendengar dari kawan-kawan saya yang mengatakan gantikan solat wajib yang kita tinggalkan selepas solat Isyak.
JAWAPAN:
SOLAT fardu yang tertinggal wajib diqada. Ulama membahagikan qada solat kepada dua jenis. Yang pertama qada solat bagi mereka yang tertinggal solat dengan keuzuran. Yang kedua qada solat bagi mereka yang tertinggal tanpa keuzuran.
Para ulama fikah dalam mazhab al-Syafieyyah, al-Malikiyyah, al-Hanafiyyah dan al-Hanabilah sepakat mewajibkan bersegera dalam mengqada solat wajib yang tertinggal tanpa keuzuran. Ini kerana meninggalkan solat tanpa keuzuran syarak adalah berdosa. Maka bertaubat daripada dosa dituntut segera.
Dosa yang bertangguh tanpa bertaubat akan mengundang kemurkaan Allah s.w.t. Selagi tidak qada selagi itulah dosanya dikira. Syarat taubat daripada dosa ini ialah mengqadakan solat yang tertinggal.
Abu Hurairah r.a meriwayatkan satu peristiwa yang bermaksud: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w ketika pulang menunggang unta dari peperangan khaibar telah merasakan mengantuk sangat, sehingga baginda bersabda: “Wahai Bilal kita telah ditimpa malam”, maka bilal menunaikan solat beberapa rakaat yang terdaya oleh beliau, manakala Rasulu llah s.a.w dan para sahabat terus tidur.
Apabila hampir fajar Bilal menyandarkan badan pada tunggangannya sehingga Bilal tewas dalam mengantuk. Tiada seorang pun dari kalangan sahabat yang terjaga sehinggalah mereka terasa kepanasan matahari. Rasulullah s.a.w adalah yang terawal bangun lalu baginda terkejut. Lantaran Bilal berkata: “Demi ayahku dan ibuku apa yang berlaku pada diriku jualah yang menimpa dirimu wahai Rasulullah”. Kemudian kesemua sahabat bersiap untuk solat. Rasulullah s.a.w berwuduk dan menyuruh Bilal iqamat lalu baginda menunaikan solat fajar dengan mengimami para sahabat.
Apabila selesai menunaikan solat baginda bersabda: “Barang siapa yang melupai solat maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia teringat. Sesungguhnya Allah berfirman yang bermaksud: “ Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, Sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku.” (Tahaa:14 ), (riwayat Ibn Majah, jld:1, hlm: 227).
Persoalannya bolehkah qada solat subuh? Sedangkan selepas subuh adalah waktu haram mendirikan solat. Mungkin ini menjadi asas kepada pandangan segelintir masyarakat yang menyangka tidak boleh melakukan sebarang solat selepas waktu subuh walaupun qada solat.
Dalam beberapa hadis Rasulullah s.a.w daripada ‘Uqbah bin ‘Amir memberitahu yang bermaksud: Baginda Rasulullah telah menegah kami dari menunaikan solat dan mengkebumikan jenazah pada tiga waktu berikut: ketika terbit matahari sehingga naik tinggi, ketika matahari berada pada ufuk dan ketika terbenamnya matahari. (riwayat Muslim, jld:1, hlm:568, Abu Daud, jld:2, hlm:185,).
Namun, solat yang diharamkan selepas solat fajar ialah solat sunat, adapun solat fardu tidak ditegah dari melakukannya, ini kerana selagi mana matahari tidak terbit selagi itu waktu itu waktu solat subuh. (Nuh ‘Ali Salman, Qadha al-Ibadat, hlm: 260-261).
Para Fuqaha dari kalangan mazhab al-Syafieyyah, al-Malikiyyah dan al-Hanabilah mengharuskan qada solat pada waktu-waktu yang ditegah dalam hadis di atas dan waktu-waktu lain.
Dr. Wahbah al-Zuhailiy menukilkan pandangan para fuqaha dengan menyimpulkan dengan pandangan: “Harus mengqada solat fardu yang tertinggal pada bila-bila masa, sama ada waktu itu ditegah daripada melakukan ibadat ataupun pada waktu biasa, maksudnya qada solat boleh dilakukan bila-bila sahaja.” (Dr. Wahbah al-Zuhailiy, al-Fiqh al-Islamiy, jld:2, hlm: 144).
Justeru, dengan nas-nas daripada al-Quran serta hadis dan pandangan ulama yang muktabar jelas kepada kita bahawa qada ini boleh dilakukan pada bila-bila sahaja walaupun selepas subuh dan selepas asar.
Ini kerana wajib itu kekal wajib. Wajib dalam waktunya apabila tidak ditunaikan pada waktunya wajib itu tidak berubah tuntutannya ia tetap kekal wajib. Malahan orang yang tertinggal solat dengan alasan tertidur, terlupa wajib bersegera mengqadanya. Selagi mana tidak diqada selagi itulah hutang solatnya tertanggung atas bahunya.
Solat tidak boleh selesai dengan taubat sahaja. Taubat atas perbuatan alpa atau buat-buat alpa dan terlupa. Taubat dalam erti kata menyesal atas sikap acuh tak acuh, dan berjanji dengan Allah dan diri bahawa tidak akan mengulangi tabiat suka leka dan tidak bersungguh-sungguh dalam memelihara solat.

Sunday, October 9, 2011

Pembahagian Mati Syahid

Istilah dan pembahagian Syahid telah dijelaskan mengikut pandangan Fuqaha' sebagaimana berikut:

ISTILAH SYAHID

1) Ulama' Hanafiah: Individu yang dibunuh oleh golongan Musyrikin ataupun yang terbunuh didalam peperangan dengan mempunyai tanda-tanda yang yang jelas sama ada secara zahir atau batin seperti keluarnya darah dari mata ataupun anggota lain yang seumpamanya.

2) Ulama' Syafieah; Individu yang terbunuh dengan sebab memerangi golongan kuffar dengan niat ikhlas kerana AllahSWT secara berhadapan dan bukannya terbunuh semasa lari dari medan pertempuran.

3) Ulama' Hanafiah: Individu yang terbunuh didalam peperangan dengan golongan kuffar,lelaki atau wanita,beligh ataupun sebaliknya,samada dibunuh oleh kuffar atau dengan senjatanya sendiri ataupun terjatuh dari kenderaannya atau meninggal dunia tanpa terdapat kesan-kesan pada anggota badannya tetapi mempunyai niat yang ikhlas untuk berperang dijalan Allah SWT.

PEMBAHAGIAN SYAHID :

1) Syahid Dunia: Individu yang syahid berpandukan hukum dunia tetapi tidak mendapat pahala syuhada' di sisi Allah disebabkan terdapat unsur-unsur ketidakikhlasan dalam berjuang serta mempunyai kepentingan duniawi dalam melakukannya. Golongan ini tidak wajib disembahyangkan dan tidak dikafankan tetapi disemadikan dengan pakaian dan darah yang masih melekat pada tubuh badan mereka.

2) Syahid Dunia dan Akhirat: Individu yang berperang dalam serangan hendap dengan musuh dan terbunuh untuk menegakkan kalimah AllahSWT dengan niat yang ikhlas. Golongan ini tidak wajib disembahyangkan,tidak dikafankan dan jenazahnya disemadikan dengan pakaian dan darah yang masih melekat pada tubuh badan mereka.

3) Syahid Akhirat: Mereka yang mati kerana bencana alam,dibunuh secara zalim,mempertahankan hak,mati kerana sakit pada bahagian perut,wanita yang mati ketika melahirkan anak,mati lemas,mati ketika menuntut ilmu dan sebagainya. Jenazah mereka diuruskan seperti biasa.

Ulasan daripada; Syeikh Muhammad Al Khatib (Ulama' Al Azhar):

1) Persoalan ini hampir sama seperti yang pernah berlaku pada zaman RasulullahSAW ketika berlaku perang Uhud,ada seorang pemuda yang tidak dapat menyertai perang tersebut menyaksikan peperangan daripada jauh terkena anak panah dan mati. Kematiannya ini ditangisi oleh ibunya yang mempersoalkan kedudukan anaknya diakhirat nanti. Apabila beliau menimbulkan persoalan ini kepada Rasulullah SAW,baginda menjawab bahawa pemuda itu mati syahid.

2) Perkara pertama yang perlu dinilai ialah niat individu itu;

-Sekiranya dia melaknat Israel dan hatinya bersama mujahidin,maka dia dianggap terikat dengan perjuangan fisabillillah dan syahid sekalipun tidak menyertai peperangan.

-Sekiranya dia takut dan bersedia untuk memberi sumbangan dan kerjasama dengan pihak penjajah, maka Allah SWT sajalah yang layak menentukan kedudukannya.

KESIMPULAN

Secara umumnya Jumhur Fuqaha' tidak meletakkan hukum syahid hanya kepada orang yang dibunuh disebabkan tindakan musuh tetapi meliputii semua keadaan walaupun yang terbunuh hasil dari tindakannya memerangi musuh dengan niat yang ikhlas kepada AllahSWT.

Rujukan:

1. Hasyiah Ibnu 'Abidin - jilid 2 m.s 268
2. Qawanin Fiqhi m.s. 96
3. Al Qamus Fiqhi Lughatan Wa Istilahan m.s. 204(Abu Jib)
4. Syahid Fil Islam m.s.77 (Syeikh Hassan Kholid)
5. Ahkam Al Jana'iz Dirasah Fiqhiyah Jadid (Syeikh Muhammad Hassan)
6.Akhbar Afaq Arabiah.

Wednesday, June 22, 2011

Semua Adalah Pendakwah

Assalamualaikum penulis ucapkan kepada semua yang sedia membaca, penulis mohon maaf kerana sudah lama meninggalkan dunia penulisan ini kerana sibuk dengan kelahiran anak pertama dan kegawatan ekonomi buat sementara waktu ini.

Penulis tertarik dengan persoalan tentang pendakwah adalah profesion ustaz dan ustazah sahaja,
jika mahu mendapat gelaran ustaz dan ustazah sahaja baru boleh menjadi pendakwah maka susahlah sebuah keluarga yang ayah dan ibunya seorang jurutera dan kerani.
Persoalan ustaz dan ustazah tidak boleh dijadikan sandaran untuk menjadi seorang PENDAKWAH tetapi ia hanya boleh dijadikan guru atau tunjuk ajar jika ada masalah dalam bab DAKWAH.

Semua manusia yang bergelar ISLAM dan MUSLIM mereka sebenarnya adalah pendakwah, berdakwah untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Berdakwah merupakan sesuatu perbuatan yang menyeru untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan.

Mudah-mudahan, kita sentiasa sedar bahawa kita adalah pendakwah dan wajib berdakwah.

Surah Ali Imran ayat 110

yang bermaksud :"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik."

SEBAB TURUN AYAT

Ayat diturunkan apabila terdapat dua orang Yahudi iaitu Malik bin Dhaif dan Wahab bin Yahuz telah berkata kepada Abdullah bi Mas'ud dengan kata mereka"Agama kami(agama Yahudi)lebih baik daripada agama Islam yang kau seru kami kepadanya dan kami adalah lebih baik daripada kamu."Maka Allah turunkan ayat ini bagi menjawab dakwaan orang-orang Yahudi ini.

UMAT TERBAIK

Sesungguhnya umat Nabi Muhammad SAW adalah golongan manusia yang terbaik yang dikeluarkan kepada manusia lain.Justeru itu umat Islam sepatutnya mengetahui hakikat pengiktirafan ini dan nilai yang telah diletakkan oleh Allah kepada kita.Maka kita perlu ingat dan sedar,bukanlah pengiktirafan ini hanyalah sebagai satu pujian kosong atau cara Allah ingin mengambil hati orang Islam tetapi pujian ini membawa kepada satu tanggungjawab dan amanah supaya ianya menjadi realiti bahawa kita ini adalah umat yang terbaik.Untuk mencapai maqam atau martabat ini,Allah menetapkan tiga ciri seperti di dalam ayat di atas iaitu:
  1. Menyeru kepada kebaikan


  2. Mencegah kemungkaran


  3. Beriman dengan Allah dengan sebenar-benar Iman.

Tuesday, May 10, 2011

Gharar, Maisir dan Riba'

Gharar, Maisir dan Riba'

Perkara2 asas untuk dipertimbangkan:-


ERTI TAKAFUL

Takaful adalah berasal daripada bahasa arab dari kata dasar perbuatan "kafala" iaitu bererti saling menjamin, menjaga dan memelihara.

Konsep Takaful - peserta saling berjanji membantu antara satu sama lain sekiranya salah seorang peserta ditimpa musibah dan pengamalannya berdasarkan tabarru'(menderma)yang terselamat dari unsur2 gharar dan maisir.

TABARRU'

- Maksud tabarru' ialah pemberian sukarela oleh sebelah pihak tanpa meminta penggantian daripada pihak yang lain.
- Tabarru' dalam Takaful Ikhlas pula ialah setiap peserta Takaful akan memperuntukkan peratusan tertentu kedalam dana tabarru' untuk membantu peseta2 lain ketika ditimpa musibah/bencana dan sebagainya.

Percayalah dengan janji ALLAH:-
* Firman Allah swt :" Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan & takwa dan janganlah tolong menolong dalam berbuat dosa & permusuhan" (Surah Al Maidah: 2)
Ketakwaan yang dimaksudkan dalam ayat diatas ialah berusaha menutupi kepayahan yang dihadapi saudara Muslim kita dengan meringankan kesusahan yang ditanggung. (TABARRU')

"BERILAH HADIAH KAMU AKAN BERKASIH SAYANG"

KENAPA MESTI MEMILIH HANYA TAKAFUL (& bukan yang lain)

BERDASARKAN FATWA JAWATANKUASA FATWA KEBANGSAAN 1972

% Tanggal 15 Jun 1972, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam persidangan yang kelima telah memutuskan INSURANS nyawa sebagaimana dijalankan oleh syarikat2 insuran yang ada pada masa ini adalah satu muamallah fasid (rosak/tidak sah) yang tidak sesuai dari segi akadnya kerana mengandungi unsur2 gharar, maisir dan riba'.
(RUJUKAN : JAKIM)

MAKSUD INSURAN :

INSURANS adalah kontrak pembelian polisi bagi menanggung kerugian (kiranya ada).

MAKSUD TAKAFUL :

TAKAFUL adalah kontrak menderma dan tolong menolong (tidak membeli polisi) kepada satu tabungan lain, bagi membantu sesiapa yang ditimpa musibah.

APA ITU Riba'(faedah)?:

- Riba' didalam insuran berlaku apabila nilai serahan pada tempoh matang disertakan dengan interest (faedah) apatah lagi sumber pendapatan insurer adalah dari perniagaan duniawi & dana kebanyakannya dilaburkan dalam instrumen kewangan(bon & saham) yang konvensional. Elemen riba' juga berlaku jika peserta terpaksa membayar faedah jika ingin mengeluarkan wang(auto premium loan).

Dalil yang mengharamkan riba':
" Sesunguhnya Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba'." (Surah Al Baqarah : 275)

*** p/s : simpanan takaful boleh dikeluarkan tanpa menjejaskan perlindungan khairat kematian sekiranya memerlukan. Wang yang dikeluarkan juga tidak dikenakan faedah (interest fee) & juga tidak perlu dibayar balik.

APA ITU Maisir (judi)? :

-maisir (judi) boleh berlaku dimana pemegang polisi boleh kehilangan 100% daripada premium yang telah dibayar kepada insurer. contohnya ialah ada polisi yang menyatakan jika penamatan dilakukan sebelum setahun maka nilai serahan adalah zero.

Dalil yang mengharamkan maisir
" Wahai orang yang berIMAN! bahawa sesungguhnya arak & judi & pemujaan berhala & mengundi nasib dengan batang2 anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya." (Surah Al-Maidah : 90)

APA ITU Gharar ( ketidakpastian)? :

-gharar (ketidakpastian) - Kontrak insuran konvensional mengandungi unsur gharar kerana jika tidak berlaku sebarang tuntutan, satu pihak iaitu insurer akan mendapat semua premium manakala pemegang polisi tidak mendapat sebarang keuntungan.
Pemegang polisi juga tidak mengetahui dengan jelas samada akan mendapat bayaran yang dijanjikan, tidak mengetahui kadar bayarannya dan tidak mengetahui masanya untuk mendapat tuntutan pembayaran.

- Dalil yang mengharamkan gharar
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: "Rasulullah s.a.w telah melarang daripada terjerumus dalam perniagaan lontaran dan perniagaan yang tidak pasti." ( Riwayat Muslim)

Berdasarkan fatwa itu adalah diharapkan umat Islam dinegara ini akan memikirkan kembali kepentingan hanya memilih Takaful. Oleh yang demikian adalah besar harapan saya untuk melihat muslimin & muslimat sekelian memahami takaful dengan hati yang terbuka & tidak memandang rendah kepada Takaful .. Jika takaful tidak elok masakan banyak syarikat insuran konvensional berusaha keras untuk memiliki lesen takaful.. tepuk dada tanya apa yang kita perlukan..

ghuraba`

Rasulullah bersabda (yang artinya), "Sesungguhnya Islam pertama kali muncul dalam keadaaan asing dan nanti akan kembali asing sebagaimana semula. Maka berbahagialah orang-orang yang asing (alghuroba')."(hadits shahih riwayat Muslim)

"Berbahagialah orang-orang yang asing (alghuroba'). (Mereka adalah) orang-orang shalih yang berada di tengah orang-orang yang berperangai buruk. Dan orang yang memusuhinya lebih banyak daripada yang mengikuti mereka."(hadits shahih riwayat Ahmad)

"Berbahagialah orang-orang yang asing (alghuroba'). Yaitu mereka yang mengadakan perbaikan (ishlah) ketika manusia rusak."(hadits shahih riwayat Abu Amr Ad Dani dan Al Ajurry)

Hiraq Karmila

Hiraq Karmila
Makanan Sunnah (014 8290036) (FAHMI)