Tuesday, March 10, 2009

Cinta tIDAK dATANG bErgolek

“Itulah alasan lapuk yang aku sudah malas mahu mendengarnya. Kononnya semasa di kampus inilah kena bercinta sebab zaman kerja nanti, silap-silap melepas,” luah hati Zaharah sambil membetulkan tudungnya.

“Mereka sanggup melayan dosa bercouple begitu… mereka sudah lupakah janji Allah bahawa jodoh dan pertemuan sudah diatur-Nya? Mengapa mesti melayan dosa?” tambah Zeti untuk menyedapkan lagi perbualannya.

Setelah membaca dan menghadam Teori Evolusi Cinta yang saya nukilkan di saifulislam.com tentang keburukan hidup bergelumang cinta bertatah dosa, ramai yang berasa puas. Ada yang berpuas hati kerana bertambah yakin dengan pengorbanan diri menolak cinta atau memutuskan cinta yang pernah membelit jiwa. Ada juga yang berpuas hati kerana beroleh hujah-hujah mantap untuk membidas kawan-kawannya yang selama ini petah menangkis tazkirah.

Penulisan saya berkaitan dengan cinta, tidak pernah saya pisahkan daripada niat yang satu, iaitu untuk menunjukkan jalan yang betul dalam mengatur fitrah agar tidak menjadi fitnah. Teguran kepada anak-anak muda berkaitan dengan kebingungan mereka dalam menggarap persoalan cinta dan cabang-cabangnya, disampaikan dalam nada nasihat yang penuh empati, bukan titah hukuman mati. Hanya sesekali, saya cantas bunga-bunga bahasa, agar mesej yang ingin disampaikan terang benderang, apatah lagi setelah rimas melihat bunga diramas kera.

Tetapi reaksi pembaca yang menyokong tulisan saya, menimbulkan pula masalah yang baru. Mereka membuat kesimpulan-kesimpulan yang jauh dari apa yang saya maksudkan. Biar pun umum memahami bahawa artikel dan komen adalah dua komponen yang berasingan, namun secara separa sedar, ia menyerap dan saling melengkapkan pakej kefahaman, yang jauh dari mesej asal saya.

SALAH FAHAM

“Kenapa mesti bercinta semasa belajar, bukankah jodoh dan pertemuan telah Allah tentukan!” kata seorang pemberi komen. Bukan komen di blog saya, tetapi di halaman lain yang memetik tulisan saya.

Sesungguhnya di sinilah tertonjolnya satu krisis baru.

Menolak cinta yang bergelumang dosa adalah sama sekali tidak bermaksud yang persoalan jodoh boleh dipisahkan dari usaha. Ia bertentangan dengan sunnatullah yang menuntut kita mengambil sebab musabab dalam kehidupan. Bagaimana kalau ayat tersebut digantikan dengan persoalan makan?

“Kenapa mesti mencuri untuk mencari rezeki, bukankah makan dan minum kita telah Allah tentukan?”, ayat ganti dalam skop yang sama.

Mampukah seorang manusia yang waras percaya bahawa perbuatan mencuri untuk mencari makan, adalah kesalahan yang mesti dihentikan dan gantiannya ialah menunggu sahaja beras ajaib menjadi nasi, ikan di laut berenang ke pinggan, dan tangan menyuap tanpa usaha!

Tentu sahaja tidak.

Sudah tentu perbuatan berdua-duaan tanpa ikatan perkahwinan, yang sudah menjadi kelaziman yang menggila di kalangan masyarakat kampus adalah perbuatan yang salah dan harus diperbetulkan. Namun menolak coupling tidak bermaksud yang seorang siswa dan siswi boleh duduk bertimpuh bertahajjud di atas sejadah merayu kepada Allah agar beroleh jodoh tanpa sebarang usaha ke arah mendapatkannya.

Usaha tetap usaha, dan zaman belajar tetap merupakan salah satu peringkat usia yang bagus untuk usaha ini dilaksanakan. Soal berkahwin semasa belajar ia subjek kepada diskusi khusus mengenainya. Namun mencari calon yang sesuai ketika di zaman pengajian, adalah langkah yang baik kerana kita duduk dalam lingkungan yang lebih banyak potensi kafa’ah dan sekufu dalam pencarian itu.

Akan tetapi jika berdua-duaan menggendong pasangan ke hulu hilir dianggap salah, apa lagi ikhtiar yang ada untuk mencari teman berkongsi nyawa?

SUATU KETIKA DAHULU

“Has, umur kita dah mencecah hampir suku abad. Anta tak ada perancangan untuk berkahwin?” tanya Ziad, sepupu saya ketika kami menjamah makan malam.

“Hmm… terfikir juga. Cuma tidak seserius mana. Anta rasa macam mana?” saya menyoalnya kembali.

“Kalau anta berhajat, jomlah kita berjumpa dengan Ustaz Wan,” cadang Ziad.

Ustaz Wan adalah seorang pelajar PhD di UK. Beliau merupakah seorang tokoh masyarakat yang dekat di hati kami kerana sikapnya yang prihatin terhadap kebajikan pelajar yang mengenalinya. Dalam kesibukan beliau mengendalikan pengajiannya di peringkat PhD, beliau tidak lokek meminjamkan masa dari semasa ke semasa untuk berceramah, berseminar dan membuka kelas-kelas pengajian yang amat berharga, terutamanya buat anak perantau yang dahagakan petunjuk agama di bumi UK.

Kami sering merujuk kepada Ustaz Wan.

Bukan hanya dalam soal ilmu dan hukum hakam, tetapi membabitkan soal kehidupan. Beliau adalah tempat rujuk yang paling tepat untuk pelajar bertemu dan meminta nasihat serta pertolongan tentang cinta, jodoh dan perkahwinan.

“Anta tak ada calonkah daripada kalangan ustazah-ustazah Jordan sana?” soal Ustaz Wan petang itu.

“Err… ustazah-ustazah Jordan garang, ustaz. Nanti ana tak dibenarkan makan pizza. Hanya khubuz arabi sahaja!” saya menjawab dengan nada gurauan. Ustaz Wan dan Ziad ketawa.

“Anta ada kriteria tertentu?” tanya Ustaz Wan kepada saya.

“Tak ada ustaz. Asalkan elok di mata ustaz, eloklah di mata ana. Cuma jika ada ruang, ana lebih cenderung untuk mencari calon yang kampungnya dekat-dekat. Tidak perlu bermusafir jauh untuk pulang ke kampung nanti,” saya menjawab.

“Oh, kalau ada calon dari kampung ana, anta tak setujulah ya?” gurau Ustaz Wan sambil mengisyaratkan jarinya kepada Zack yang ketawa di sisi.

“Wait and see laa ustaz!” kami ketawa.

Kami tahu, isteri Ustaz Wan juga banyak berbual dengan kelompok siswi. Mereka juga merujuk kepada isteri Ustaz Wan dalam hal-hal seperti ini dan sebahagiannya meminta bantuan beliau untuk mencarikan jodoh yang sesuai.

Ustaz Wan mencadangkan agar saya mencari jodoh dari kalangan pelajar perubatan di Ireland. Kombinasi Ustaz dan doktor bagus untuk khidmat masyarakat katanya. Cuma ustaz yang berkahwin dengan doktor kenalah bekerja keras untuk menyesuaikan kerjaya dan expectation masing-masing memandangkan kepada nature kerja kedua-dua profesyen itu.

Saya bersetuju.

Ustaz Wan dan isteri memanjangkan hajat saya kepada seorang senior yang berada di Dublin, Dr. Faiz.

Beliau dan isterinya merupakan doktor yang dihormati di kalangan pelajar. Biar pun beliau bukan seorang ustaz, namun perwatakannya yang prihatin kepada kebajikan pelajar serta keperibadiannya yang baik, menjadikan beliau sebagai tempat siswa dan siswi mengadu hal dan meminta nasihat.

Selain nasihat berkaitan akademik, beliau juga banyak berkongsi peringatan tentang hal-hal yang bersangkutan dengan cinta, jodoh dan perkahwinan.

seacat

Menaiki Seacat menyeberangi Laut Irish dalam ikhtiar berkaitan jodoh - Disember 1998

“Ahlan wa sahlan ke Dublin, ustaz,” kata Dr. Faiz semasa menyambut saya yang baru tiba dengan keretapi dari Belfast.

“Terima kasih doktor,” saya berpelukan dengannya.

Biar pun kami hanya sesekali bertemu di dalam program, namun keserasian pemikiran dan sifat saling hormat menghormati memberikan keselesaan serta merta kepada kami berdua untuk berbual mesra. Pertemuan pada malam Ramadhan yang penuh keberkatan itu menjadi sesi bertukar-tukar pandangan di antara saya dengan beliau. Setelah dimaklumkan oleh Ustaz Wan lebih sebulan yang lalu, Dr. Faiz dan isteri mencadangkan kepada saya beberapa orang siswi yang mempunyai hasrat yang sama, sebagai calon isteri.

CALON CADANGAN

“Ana ada dua orang calon yang dirasakan sesuai dengan ustaz. Tetapi terpulang kepada ustaz untuk mempertimbangkannya,” ujar Dr. Faiz malam itu.

“Hmm, kalau mengikut catatan doktor, calon yang pertama ini amat banyak persamaan dengan ana. Hingga poskod beliau pun sama. Doktor rasa kenapa agaknya?” saya tersenyum semasa membaca catatan Dr. Faiz tentang ‘calon pertama’ yang dikemukakannya.

“Kenapa ya? Ana tak perasan pula!” kata beliau. Sedikit terkejut.

“Ini sepupu ana, doktor. Haha!” saya ketawa.

“Ohh ye ke? Tak tahu pula ustaz ada sepupu di sini. Patutlah poskod pun sama. Rumah dekat-dekat barangkali,” Dr. Faiz ketawa sambil menepuk dahi.

Saya membelek maklumat tentang calon kedua yang dikemukakan oleh Dr. Faiz.

Namanya Nazhatul Muna.

Hmm… sedap nama itu. Seperti Arab. Tanda ibu bapanya orang beragama barangkali. Alamatnya di Ipoh. Orang dekat juga nampaknya. Adik beradiknya 10 orang. Besar keluarga ini. Mungkin juga bonus, petanda baik kesediaan berkaitan cahaya mata nanti. Serba serbi, maklumat ringkas yang ada cukup berpada.

Saya tidaklah cerewet dalam mencari. Risaunya lebih kepada menjadi. Kalau mahu mencari yang baik, banyakkan usaha menjadi yang baik. Berkahwin untuk memberi… expectation kita adalah soal peranan dan tanggungjawab. Manakala kelebihan dan kebaikan isteri, itu bonus. Sebab itulah mungkin saya tidak mengalami banyak kesusahan untuk membuat keputusan.

“Insya Allah selepas Tarawih nanti ana beri keputusan. Cuma kalau ada gambar orangnya, izinkan ana menengoknya untuk melengkapkan syarat Sunnah,” saya memberitahu. Kebetulannya jam sudah hampir 7:30 malam. Solat Isyak dan Tarawih bakal bermula.

dublinmosque

Di masjid ini saya memohon restu dari Allah sebelum keputusan besar dibuat

Selesai solat, saya mengambil masa seketika menunaikan solat Hajat. Memohon kekuatan daripada Allah untuk ‘menyokong keputusan besar’ malam itu. Keputusan yang banyak berpandukan fatwa hati, bahawa ia tenang dengan kebaikan dan resah dengan perkara yang berlawanan. Hati saya tenang sepenuhnya… dalam munajat kepada Allah.

“Ya Allah, pada malam yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini, aku ingin membuat keputusan yang besar tentang wanita yang bakal kupilih menemani kehidupan dan perjuangan ini, sepanjang hayatku. Atas ikhtiarku sebagai hamba-Mu yang tidak mampu melihat apa yang Engkau sembunyikan, aku menilai zahirnya, Kau uruskanlah ghaib dan batinnya. Berkatilah pilihanku ini dan kuatkan azam serta tawakkalku kepada-Mu. Aku hamba-Mu, dia hamba-Mu, Engkau Tuhan kami. Jadikanlah segalanya dalam suluhan hidayah dan inayah-Mu, ameen ya Rabb al-’Aalameen”

Kami bertemu semula selepas moreh.

“Kebetulan zaujah ana ada gambar ukhti tersebut. Ini dia,” Dr. Faiz menghulurkan sekeping gambar.

Saya terkasima di antara rasa teruja dan lucu memikirkannya. Sekeping gambar yang memaparkan hampir 30 orang mahasiswi di hadapan bangunan universiti, wajah calon isteri saya hanyalah sebesar kepala mancis. Apa yang pasti, calon itu cukup matanya, lubang hidungnya, mulut dan dua tangan di kiri dan kanan badan. Alhamdulillaaah!!!

“Insya Allah doktor. Hati ana berada dalam keadaan yang tenang. Dialah calon pilihan ana. Andaikata beliau bersetuju. Jika beliau tidak bersetuju, ana berlapang dada,” saya memberitahu.

Malam itu juga, Kak Ila isteri Dr. Faiz menelefon muslimah bernama Nazhatul Muna itu di bandar Galway, beberapa ratus kilometer ke Barat Dublin. Hampir 15 minit mereka berbual.

“Hah, apa cerita?” Dr. Faiz bertanya kepada Kak Ila yang tersenyum simpul datang ke ruang tamu.

“Alhamdulillah, nampaknya orang sebelah sana pun tidak susah membuat keputusan. Dia belum mempunyai apa-apa komitmen walaupun ada meminta bantuan sepupunya yang belajar di Mesir. Beliau bersetuju, ustaz!” kata Kak Ila kepada saya. Beliau juga girang sekali dengan hasil malam itu.

Sebak dada saya. Antara syukur dan terharu. Debar di dada makin terasa. Malam ini adalah permulaan yang baru dalam hidupku.

Subhanallah. Saya akui saya tidak susah untuk membuat keputusan. Tetapi saya tidak menjangkakan yang calon di sebelah sana juga begitu. Malam itu kami mencapai beberapa keputusan. Dr. Faiz mencadangkan agar semasa Hariraya Aidiladha nanti, saya datang sekali lagi ke Dublin untuk diperkenalkan dengan calon tunang dan isteri saya di rumah mereka. Dr. Faiz dan isteri mahu mengatur sesi Taaruf. Sementara itu, beliau tidaklah mengenakan apa-apa syarat kerana kami masing-masing faham akan batasan agama yang dipersetujui bersama.

Rancangan untuk bertaaruf itu tidak berhasil.

Saya tidak sempat untuk datang semula ke Dublin kerana pulang ke Malaysia. Kebetulannya emak juga sudah maklum akan hasrat saya untuk menamatkan zaman bujang. Tidaklah terus berkahwin, tetapi menunggu sehingga calon saya menamatkan pengajiannya di bidang perubatan. Masih ada dua tahun berbaki. Tempoh yang penting untuk saya membuat persiapan diri.

Setelah ada persetujuan di kedua-dua belah pihak, Dr. Faiz mencadangkan agar saya tidak lagi menggunakan khidmat beliau sebagai orang tengah. Di peringkat ini, sudah wajar untuk kami berhubung terus bagi mengatur diskusi tentang plan yang selanjutnya.

Pada bulan Mei 1999 buat pertama kalinya saya berutus email dengan calon yang belum pernah dilihat wajahnya, belum pernah didengar suaranya, jauh sekali keluar bersama. Gugup sekali. Hingga mahu dibahasakan saudari atau ukhti atau awak atau kamu, saya menulis dan memadam berjam-jam lamanya.

Setelah saling bertukar beberapa email, kami mencapai kata sepakat untuk bertunang. Saya dari kota London dan beliau dari Galway, kami sama-sama pulang ke Malaysia.

Saya telah datang ke rumah beliau bersama abang dan bapa saudara kami untuk menetapkan tarikh majlis bertunang dan hal-hal lain yang berkaitan. Di hari itulah, buat pertama kalinya, saya dipertemukan dengan seorang wanita bernama Nazhatul Muna, di hadapan ayah dan bondanya dengan penuh restu, adab dan aturan agama. Ia sebuah pertemuan yang amat bermakna dan saya memuji Allah atas nikmat ini, nikmat melihat bakal teman sepanjang hayat di dalam majlis yang paling baik, iaitu di bawah bumbung rumahnya, di depan mata ayah dan ibu yang melahir dan membesarkannya.

Tiada yang lebih baik dari itu.

pinang

Tiada dalam gambar. Sedang ‘bersembunyi’ di dalam kereta

Bertunanglah (Mengikat Pertunangan Dalam Kesederhanaan - petikan Aku Terima Nikahnya) kami selama dua tahun dan seperti yang dipersetujui bersama, ikatan perkahwinan dilangsungkan pada September 2001 (Erti Sebuah Perkahwinan - petikan Aku Terima Nikahnya). Ziad yang juga sudah berumahtangga dan sedang menunggu kelahiran cahaya mata pertamanya, menumpang gembira hadir sama mengiringi majlis perkahwinan kami.

KHIDMAT ORANG TENGAH

Itulah secebis kenangan, kisah bagaimana saya bertemu jodoh dengan Ummu Saif.

Peranan Ustaz Wan dan Dr. Faiz serta isteri masing-masing, sinonim dengan fungsi Nafisah binti Umayyah, yang menjadi orang tengah di antara Khadijah bint Khuwailid dan Muhammad bin Abdillah sallallaahu ‘alayhi wa sallam ketika Khadijah melamar baginda.

Tindakan Khadijah mewakilkan Nafisah untuk merisik dan seterusnya menyatakan hasratnya mengambil Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai suami, adalah suatu aturan prosedur mencari jodoh yang terkandung di dalamnya hikmah yang besar.

1081

Peranan orang tengah inilah yang harus diberikan perhatian oleh para muslimin dan muslimat hari ini dalam ikhtiar mereka mencari jodoh. Sama ada orang tengah itu merupakan ibu bapa mereka sendiri, atau pun individu-induvidu yang diyakini sifat amanah dan kewibawaannya, mereka bisa mengusahakan urusan mencari jodoh ini.

Malah jika peranan orang tengah ini diinstitusikan di bawah unit-unit secara sistematik, ia adalah lebih baik dan bermanfaat. Bagi gerakan-gerakan Islam dan kumpulan dakwah yang menghimpunkan sekelompok besar ahli yang sepemikiran dan memegang nilai serta pandangan hidup yang sama, proses untuk mencari jodoh yang diinstitusikan di bawah Unit Bait Muslim, adalah suatu tradisi zaman berzaman yang amat berguna.

Peranan Unit Bait Muslim ini bukanlah untuk memaksakan jodoh sesama pengikut! Malah jika ada pemaksaan berlaku di mana-mana ia adalah kepincangan mereka sendiri, biar atas nama apa sekali pun ia. Unit Bait Muslim ini amat tipis perbezaan di antara buruk dan baiknya. Ia amat bergantung kepada persepsi atau cara memandang seseorang. Apabila fungsi Unit Bait Muslim disanggah dengan perkataan sedemikian rupa, maka jadilah ia sebagai sesuatu yang dipandang serong dan negatif oleh golongan yang mendengar di atas angin.

Akan tetapi peranan Unit Bait Muslim ini adalah sebagai ikhtiar yang syar’ie untuk golongan yang tidak berdating ini bertemu jodoh. Konotasinya adalah USAHA dan PERANAN ORANG TENGAH.

Khidmat orang tengah dapat mencegah keaiban daripada berlaku. Ia juga boleh menjaga maruah kesemua pihak yang terbabit. Sama ada pihak tengah ini berkhidmat secara individu, atau secara berorganisasi, ia adalah wasilah mengusahakan jodoh dan perkahwinan yang amat penting untuk difahami dan dimanfaatkan.

ORANG ‘BAIK’ TIDAK BERDAKWAH

Apa yang menjadi kesulitannya ialah, jika dahulu golongan yang tidak bercouple ini lazimnya terbabit dengan kegiatan keagamaan, dakwah dan kebajikan secara berorganisasi dan mereka biasanya dibantu oleh Unit Bait Muslim di dalam organisasi masing-masing. Dulu-dulu, orang yang menolak evolusi cinta, menolaknya dengan semangat dakwah. Tetapi kini, ramai sahaja golongan yang ‘baik-baik’, tetapi tidak mempunyai sebarang komitmen dengan kerja-kerja dakwah secara sistematik dan berorganisasi.

Di antara kesan sampingannya ialah, tiada siapa yang menguruskan soal jodoh mereka, dan mereka pula tidak punya sebarang wasilah ikhtiar lain untuk tujuan tersebut.

Ibu bapa pula tidak memainkan peranan mereka dalam hal ini, atau jika ada usaha sekali pun, timbul pula pertentangan nilai antara cara menimbang ibu bapa, dengan si anak. Buntu sekali!

Mungkin dalam situasi seperti ini, agensi mencari jodoh Muslim, menjadi salah satu alternatif yang boleh dipertimbangkan. Syarikat atau pertubuhan seperti MUSLIM MARRIAGE AGENCY setakat ini berperanan secara efektif, terhormat dan berkesan dalam mengatur proses mencari pasangan hidup di kalangan Muslim.

Apa yang penting adalah USAHA dalam lingkungan BATASAN AGAMA.

Kesimpulan daripada keseluruhan perkongsian ini, lawan merompak bukanlah menganggur. Lawan pergaulan bebas bukanlah duduk semata menanti jodoh datang menjelma.

Jodoh tidak datang bergolek.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang

__ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Perkongsian anda, biar pun hanya secawan kopi amat bermakna dalam usaha menampung perjalanan saifulislam.com ini. Terima kasih

Friday, March 6, 2009

Kita Bantah, Kita Tuntut




7 MAC inilah yang akan mengimbau sejarah keranda 152 yang diperjuangkan rakyat terhadap bahasa MELAYU, sekarang sudah mula bibit-bibit untuk menjatuhkan madrasah keagungan BAHASA MELAYU ini semula.Jika dulu kita berarak dengan penuh hebat KE DBP untuk menyatakan bantahan sekaligus mendasak kerajaan di PARLIMEN, apa kita tunggu lagi sekarang ini. Kita telah diberi ruang dan peluang untuk menyatakan bantah sekaligus menuntut agar apa yang cuba didasarkan oleh kerajaan mengikut lunas AKAL YANG WARAS lagi bijaksana.
Jangan menjadikan BAHASA alat politik hingga lupa kepada bangsa hingga menhacurkan MANUSIA YANG BERGUNA.
AYUH KITA PAKAT SAMA - SAMA PADA 7 MAC 2009 kita turun bersama-sama menyatakan bantahan dan tuntutan agar kita menjadi CHECK AND BALANCE kepada kerajaan kita pada hiri ini.
"KITA MAHUKAN KEDAULATAN AGAMA BAHASA BANGSA DAN NEGARA, KITA BUANG PENGKHIANAT SEMUA"

Wednesday, March 4, 2009

Mengapa Kami Bantah PPSMI




7 MAC 2009 , HIMPUNAN 100 RIBU RAKYAT MALAYSIA MEMBANTAH PPSMI HADAPAN ISTANA
MATLAMAT TIDAK MENGHALALKAN CARA

Tuesday, March 3, 2009

Wajarkah Berkahwin Di Usia Muda

Seruan Buat Si Belangkas
Menyorot dahsyatnya mitos cinta meracuni pemikiran generasi muda hari ini, pelbagai maksiat menular di sana-sini. Pemuda meratah dara sesuka hati. Gadis hilang harga diri. Anak pungut merata-riti. Ah, sekotor inikah cinta anak muda? Tidak!

Cinta itu tidak kotor bahkan suci sekudus embun pagi. Tangan manusialah yang mengotorinya. Aduhai pemuda-pemudi yang sedang hangat bercinta! Bukankah Allah menyediakan jalan halal buat menyuburkan cinta yang sedang mekar antaramu dengan si dia? Kenapa tidak nikah saja? Boleh khalwat lama-lama.

“Ingat nikah tu senang?!” Mungkin ini persoalannya. Mungkin ini yang membelenggu pemikiran anak muda yang sedang bercinta. Samada jawapannya senang atau susah, setiap pasangan yang sudah jatuh hati perlu ada niat untuk memilih jalan halal lagi diberkati ini. Niat yang bersih berperanan mengawal diri agar terhindar dari lembah zina terkutuk dan segala perkara yang menghampirinya. Apa yang dinamakan cinta lelaki dan perempuan asing hanya boleh dinikmati selepas berumah-tangga. Ingat tu!

Kunasihatkan diriku jua dirimu hai muda-mudi, Dalam urusan jodoh, apapun keputusan buatlah sebagaimana yang dianjurkan oleh syarak dengan jalan istikharah dan musyawarah (berbincang) . Andai di sana nampak keserasian, usah terlalu fikirkan masalah, berfikirlah dengan optimis. Ambil langkah yang diizinkan Allah seterusnya iaitu dengan berkhitbah (bertunang) dan saling setia pada janji syarak yang di bina.

Awas! Hindari segala perkara yang menghampiri zina lagi tidak diredhai-Nya. Khusus buat pemuda-pemudi yang sudah jatuh cinta, Dengarilah kalamku seterusnya istimewa buatmu. Yang masih tak meletakkan nikah sebagai prioriti sekarang, teruskan belajar atau berkerja atau mengejar cita-cita.

Seringkali bila ditanya pada syabab (pemuda) tentang kenapa tak segera berzaujah (menikah), mereka amat risaukan masih tak mempunyai pekerjaan tetap. Sedangkan ada hadis yang menyuruh agar menyegerakan nikah bagi yang sudah bertemu calonnya. Pemuda selalunya bimbang jika tak mampu memberi nafkah kepada bidadarinya dan seluruh isi rumahnya. Faktor ekonomi amatlah membebankan benak mereka. Betul kan ya syabab?

Kerisauan ini lumrah. Ia lahir dari kesedaran bahawa perkahwinan itu bukan suka-suka tapi penuh tanggung-jawab. Sesetengah orang membuat perhitungan hidup secara matematik, contohnya jika seorang memerlukan biaya RM1000 maka dua orang memerlukan RM2000. Hidup sendiripun sukar dibiaya apatah lagi hidup orang lain? Faktor ini membuatkan pemuda takut berkahwin. Gambaran seperti ini semakin memberat apabila hidup dikuasai berhala bernama materialisme. Apatah lagi masyarakat terlalu meletakkan ukuran materialisme dalam menjalani kehidupan. Al-Quran mengecam keyakinan materialisme seperti ini dan menyuruh kita berfikiran optimis. Lihatlah Allah memberi berita gembira berupa kecukupan kehidupan bagi pasangan yang berkahwin: “Dan nikahkanlah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak nikah di antara hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya, dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” (An-Nur:32).

Nah, Allah telahpun memberi jaminan! Jaminan siapa yang lebih patut dipercayai??

Umar Al-Khattab, sahabat agung, pernah berkata sebagaimana dikutip dari al-Qurtubhi:

“Saya sangat takjub dan hairan dengan orang-orang yang tidak mahu menikah kerana takut miskin, dan tidak mahu mencari kekayaan melalui perkahwinan, padahal Allah telah menjaminnya.”

Nabi Muhammad s.a.w. juga memberi gambaran yang praktikal. Dalam sebuah riwayat dari Abu Hurairah r.a.: “Makanan dua orang dapat mencukupi tiga orang, dan makanan tiga orang dapat mencukupi empat orang.” (HR Bukhori dan Muslim).

Tidak hairanlah Ibnu Mas’ud pernah berkata,

“Carilah kekayaan dan rezeki melalui pernikahan.”

Kemudian beliau membaca firman Allah dalam surah al-Nur, ayat 32. Apalagi, sama-sama hapuskan berhala materialisme dalam hati dan fikiran.

Buat kaum Hawa, yakin dan percayalah pada insan yang telah ditunjukkan Allah dalam istikharahmu walau apapun keadaannya pada masa ini, asalkan baik agamanya. Samada dia masih belajar atau masih bertukar-tukar kerja, percayalah padanya. Buat syabab, rezeki Allah amat luas, jangan dirisaukan sangat. Walaupun sesuatu pekerjaan itu tidak terpandang di sisi masyarakat contohnya bekerja sendiri namun terakam mulia dalam hadis Rasulullah s.a.w. Beliau bersabda:

“Pekerjaan yang terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua penjual beli yang baik.” (HR Ahmad, Baihaqi dan lain-lain).

Jika kerisauan untuk menikah disebabkan faktor orang tua, berbincanglah dengan mereka penuh hikmah. Hati mereka milik Allah, dipegang Allah dan boleh dilunakkan oleh Allah dalam sekelip mata. Ianya menuntut doa, kesungguhan dan keberanian. Orang tua akan cair jua dengan kebaikan kerana merekalah insan yang paling inginkan kebaikan untuk seorang anak.

Percayalah! Jika terubat segala kerisauan dan tertanam kukuh sebuah keyakinan maka laksanakanlah khitbah (pertunangan) . Selama tempoh khitbah, berkongsilah apa yang dirasakan mustahak dan tidak terlalu kerap berhubung untuk menjaga kesucian ikatan. Tempoh itu sesungguhnya amat menguji. Pastikan ikatan itu terjaga dari kelalaian dan segala perbuatan yang menghampiri zina. Laksanakanlah ikatan dengan mana yang paling memudahkan lelaki. Aisyah r.a. menjelaskan,

“Sesungguhnya di antara keberkatan wanita ialah kemudahan peminangannya dan kemudahan maharnya.” (HR. Ahmad).

Oh, kaum Hawa! Tidakkah kamu mahu menjadi wanita yang berkat? Oh, mudah kahwin itu rupanya jika ikut agama! Apa tunggu lagi wahai yang dah berpunya? Pilihlah untuk berkahwin. Takutlah pada Allah melebihi takutmu pada segala persoalan di benakmu. Yakinlah pada Allah. Berdoalah pada-Nya agar dipermudahkan nikah buatmu.

“Wahai para pemuda, siapa yang mampu, berkahwinlah! Sesungguhnya ia menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Siapa yang tidak mampu maka berpuasalah.” (HR Bukhori).

Thursday, February 19, 2009

Kita Lahir Melalui Pemberontak Kebenaran



“Ahli Sejarawan Memandang Ke belakang Tetapi Mahasiswa Memacu Ke Hadapan..”

Melalui ungkapan inilah saya ingin mencetuskan sebuah idea yang rasanya sudah wujud pada aliran fikiran kita dengan makna ini.Namun sejauh manakah ungkapan ini dipraktikkan oleh sekalian Mahasiswa. Jikalah dulu kita melihat dari mata kaca sejarah merakamkan beberapa pemberontakan untuk melahirkan kebenaran dan kemerdekaan.Maka dimanakah kita sekarang sebagai seorang yang bergelar dengan mahasiswa untuk membawa makna ungkapan ini kepada kenyataan yang hakiki.
Penulis mahu mengatakan bahawa KEBENARAN dan KEBEBASAN membawa erti yang cukup mendalam melalui ungkapan ini “ Tanpa kebebasan,kita tidak akan berhasil mencapai kebenaran, dan tanpa kebenaran , hidup kita sebagai manusia akan menjadi rakaman sejarah kosong buat tatapan para sejarawan dalam catatan”. Penulis ingin mengatakan bahawa pemberontakan itu bukan lah semata-semata mahukan kepuasan tetapi inilah yang dikatakan bahawa kebebasan perlulah melalui pemberontakan yang dirasakan logik pada akal dan adil pada jisim manusia.
Walaupun kita sering mendengar kata-kata ini sebagai motivasi “ keamanan adalah tenang dan diam adalah keselamatan” ini adalah sebagai ungkapan keamanan untuk para pemerintah dan keamanan untuk kekuasaan mereka tetapi bukan keselamatan untuk ummah.Ingin penulis katakan bahawa tidak akan datang pembaharuan yang mendesak melainkan wujud golongan yang benar-benar mendesak sesuatu pemerintahan agar terima dengan desakan itu.
Penulis datangkan contoh sebagai seorang mahasiswa,jika pada mulanya assignment yang diberikan pada kita tidak dapat difahami dan dibuat tetapi hasil desakan dan pemberontakan dari sudut masa dan tanggungjawab maka ia dapat disiapkan dan difahami dengan sejelas mungkin.Oleh yang demikian ,sebagai seorang makhluk Allah yang bergelar mahasiswa haruslah menanamkan pada diri kita bahawa kami adalah pemberontak tetapi pemberontak pada kebenaran.Namun diingatkan bahawa pemberontak dijalan kebenaran adalah syurganya baginya manakala pemberontak di jalan kebatilan adalah neraka baginya bahkan sesat lagi menyesatkan.
Kiranya sudah tiba saatnya bagi kita untuk mendorong jarum jam pada marah yang lain.Sudah tiba waktunya sebagai mahasiswa untuk bahawa kita harus jadi lebih , lebih kuat dan utamanya adalah lebih percaya pada kekuatan diri bahawa kita semua adalah pemberontak kebenaran.

Saturday, February 7, 2009

Aku Takut Jika Kita

14 Feb,hari yg amat menakutkan orang tua tetapi itulah hari yang paling dinantikan oleh sebahagian remaja pada masa kini.Sedar tidak sedar inilah perangkap cinta yang dipasang oleh pihak kafir dalam mengawal akal dan minda masyarakat dengan mewawarkan rasa cinta pada kekasih perlulah dizahirkan pada hari ini.
Sedarkah kita umat islam yang celik hati dengan iman,tahukah kita sejarah sebenar perayaan ini disambut,tahukah kita ia haram disambut???? Persoalan demi persoalan ingin saya nyatakan bahawa kita telah diracun dengan media dan keseronokan dunia hinggakan kita lupa bahawa islam lebih cantik dari itu.
Islam menyatakan bahawa memutuskan silatul rahim lebih dari tiga hari hukumnya haram inikan kita mahu menyambut perayaan ini semata-mata dalam satu hari kemudian entah pergi ke mana rasa itu kepada orang yang kita kasihi,teman2 rakan2 pembaca.. Dalam hadis menyatakan bahawa bagi sesiapa yang melakukan sesuatu seperti kaum itu,maka ia adalah tergolong dalam kaum itu.. Begitu juga dengan surah Annas menyatakan agama kamu,agama kamu ,agama aku agama aku ini menunjukkan bahawa islam sudah cukup sempurna tetapi pemahaman tentang islam yang cukup cetik membuatkan kita merasakan agama lain lebih menyoronokkan bagi kita.
Ingatlah bahawa islam bukan sahaja menjanjikan kemanisan untuk penganutnya di dunia tetapi ia juga menjanjikan di akhirat sana. Allah berfirman yang bermaksud HARI INI TELAH SEMPURNA AGAMA, maka islam ada caranya untuk kasih dan sayang terhadap kekasih kita.Ingatlah ALLAH mengharamkan ZINA bagi kita tetapi ALLAH menghalalkan nikah untuk hambanya..Justeru itu,buatlah pernikahan tanda setia kita pada kekasih jika kita mampu jikat tidak berpuasalah.. AKAN DATANG UJIAN SELAGI JIWA DAN RAGA MASIH HIDUP DI ATAS MUKA BUMI-NYA..

Valentine Rosak Aqidah

HUKUM MENYAMBUT HARI VALENTINE
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Tarikh 14hb Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine's Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing.

Maka pada 14hb Februari pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian-pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah.

Pasangan-pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adengan-adengan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya.

Saban tahun juga para ulamak mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ianya seperti menuang air ke daun keladi. Oleh
itu penulis melihat begitu pentingnya untuk mengupas sejarah sambutan Hari Valentine ini agar ianya dapat menyedarkan muda-mudi kita yang hanyut di lautan cinta bahawa ianya adalah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram.

SEJARAH SAMBUTAN HARI VALENTINE

Bila kita membicarakan tentang sejarah sambutan hari Valentine maka kita akan dapati bahawa terdapat 3 pendapat berkaitan dengan asal usul hari tersebut.

�� Pendapat pertama mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13hb hingga 18hb Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata.

Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun.

Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih 2 pemuda Rom yang dianggap paling gagah lalu disapukan darah binatang tersebut ke badan mereka dan mencucinya pula dengan susu.

Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai 2 pemuda tersebut dan
mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ianya akan menambahkan kesuburan mereka.

�� Pendapat kedua mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat 2 versi cerita berkaitan
dengan St. Valentine ini.

Versi pertama. Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian
telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II.

Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari.

Pengorbanan yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana
menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya.

Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan 'From your Valentine' (Daripada Valentinemu) . Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.

Versi kedua. Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding
dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.

�� Pendapat ketiga menyatakan sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawannya jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris. Disini kita dapat melihat dengan jelas bahawa asal-usul sambutan Hari Valentine ini tidak ada hubung-kaitnya dengan budaya serta agama bagi umat Islam.

HUKUM MENYAMBUT HARI VALENTINE

Sebagaimana yang telah termaktub di dalam al-Qur'an dan al-Sunnah dan disepakati oleh generasi awal umat Islam hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Ini sebagaimana yang firman Allah S.W.T.:

Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. �V
al-Hajj : 67

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu
hari raya Aidiladha dan Aidilfitri." - Hadis riwayat al-Nasaai, no: 959.

Oleh itu hendaklah umat Islam hanya membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu 3 kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam
kalendar umat Islam seperti Mawlid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Qur'an dan lain-lain lagi.

Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam malah ianya berasal dari budaya serta agama orang kafir seperti sambutan Tahun Baru
Masehi, Hari Halloween dan juga Hari Valentine yang sedang kita perbincangkan ini. Terdapat larangan dari baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang kafir dan bagi mereka yang meniru budaya orang kafir maka ditakuti dia akan tergolong ke dalam golongan
tersebut. Sabdanya:

Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512.

Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini merupakan satu upacara yang berhubung kait dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian sebagaimana yang telah penulis paparkan sebelum ini. Justeru itu bagi mereka yang menyambut hari tersebut ditakuti dia tergolong dalam ke dua golongan tersebut sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. di atas.

Apabila seseorang itu merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali peristiwa kematian St. Valentine maka tidak disangsikan lagi bahawa perbuatan tersebut boleh
menyebabkan pelakunya kafir. Apabila dia tidak bermaksud sedemikian dan menyambut Hari Valentine sekadar untuk bersuka-ria maka dia sebenarnya telah melakukan suatu kemungkaran yang besar kerana sambutan hari tersebut menyerupai perbuatan orang kafir.

Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim, membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal.

Tidak dapat dinafikan sambutan Hari Valentine ini sebenarnya membuka pintu perzinaan sedangkan Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya:

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). �V al-Israa' :
32

Bersandarkan kepada hujah-hujah di atas maka para ulamak telah merumuskan bahawa sambutan Hari Valentine adalah diharamkan bagi seluruh umat Islam dan hendaklah pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya untuk menghalang budaya orang kafir ini dari diamalkan oleh umat Islam di Malaysia. Media Massa sepatutnya dihalang dari menguar-uarkan sambutan Hari Valentine ini kepada rakyat di sebuah negara Islam seperti Malaysia ini malah ianya sepatutnya dipergunakan untuk menyebarkan fatwa-fatwa para ulamak yang mengharamkan sambutan Hari Valentine.

KESIMPULAN

Justeru itu dapat kita rumuskan bahawa sikap orang Islam terutamanya generasi muda berbangsa Melayu di Malaysia ini menyambut Hari Valentine adalah semata-mata bertujuan untuk meniru budaya hedonis yang diimport dari barat. Menurut mereka budaya barat yang sedemikian rupa mencerminkan corak hidup terkini dan paling sesuai pada zaman yang serba moden.

Mereka yang terkebelakang dalam meniru corak hidup barat ini dianggap jumud serta ketinggalan zaman. Maka kita melihat generasi muda Melayu berebut-rebut untuk
mengamalkan gaya hidup orang barat seperti mentatu tubuh mereka, mewarnakan rambut mereka berwarna perang, memakai pakaian yang menjolok mata, mengamalkan pergaulan bebas, mengunjungi disko-disko yang dihidangkan minuman keras dan lain-lain lagi.

Bagi mereka dengan mengamalkan cara hidup sedemikian rupa mereka telah berjaya meniru satu kaum yang dianggap serba maju. Sedarlah wahai pemuda-pemudi Melayu, walau sehebat mana kamu meniru gaya hidup barat, mereka tetap melihat kamu sebagai orang Asia yang datang dari dunia ke 3 yang rendah martabatnya berbanding dengan mereka.

Mereka tidak akan melihat kamu sekalian sebagai setaraf dengan mereka walaupun
kamu bersungguh-sunguh ingin mencontohi cara hidup mereka. Oleh itu hendaklah bangsa Melayu berbangga dengan apa yang telah ada pada agama serta adat resam
bangsa mereka dan janganlah kita terlalu dikelabui dengan kehidupan duniawi yang berkiblatkan barat seperti sambutan Hari Valentine ini. Firman Allah S.W.T.:

"Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal." �V Surah al-Ghaafir: 39

* MOHD. YAAKUB MOHD. YUNUS ialah Penolong Naib
Presiden di Bahagian Perbankan Perusahaan, Affin Bank
Berhad. Untuk sebarang maklum balas berkaitan artikel
ini sila hubungi beliau melalui e-mel akob73@yahoo. com

ghuraba`

Rasulullah bersabda (yang artinya), "Sesungguhnya Islam pertama kali muncul dalam keadaaan asing dan nanti akan kembali asing sebagaimana semula. Maka berbahagialah orang-orang yang asing (alghuroba')."(hadits shahih riwayat Muslim)

"Berbahagialah orang-orang yang asing (alghuroba'). (Mereka adalah) orang-orang shalih yang berada di tengah orang-orang yang berperangai buruk. Dan orang yang memusuhinya lebih banyak daripada yang mengikuti mereka."(hadits shahih riwayat Ahmad)

"Berbahagialah orang-orang yang asing (alghuroba'). Yaitu mereka yang mengadakan perbaikan (ishlah) ketika manusia rusak."(hadits shahih riwayat Abu Amr Ad Dani dan Al Ajurry)

Hiraq Karmila

Hiraq Karmila
Makanan Sunnah (014 8290036) (FAHMI)