Friday, August 21, 2009

KEMBALILAH KE PANGKUAN RASULULLAH saw.



Pada tahap sekarang umat Islam terutama Bangsa Melayu di Malaysia tidak lagi memiliki pilihan. Umat Melayu perlu kembali berpegang sepenuhnya kepada dua warisan Rasulullah saw iaitu Al Quran dan As Sunnah. Inilah jalan penyelesaian demi merungkaikan benang kusut sejak sekian lama – teristimewanya sejak 1957. Warisan Rasulullah saw tersebut adalah penyelesaian kepada seluruh kemelut dan masalah Bangsa Melayu dan umat Islam sejagat.Firman Allah swt:
‘dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah dia; dan janganlah kamu mengikut jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa’ (Al Anaam:6:153)
Umat muslimin berpecah belah berpunca dari keengganan berpegang kepada Al Quran dan As Sunnah tetapi sanggup berkiblat hati kepada Yahudi dan Nasrani Barat. Inilah masalah akidah dan takwa!
Umat Islam menjadi hilang integrasi kerana mengabaikan pesanan Rasulullah saw ‘Hendaklah kamu menurut sunnahku dan sunnah khalifah-khalifah yang lurus sesudahku. Gigitlah (peganglah teguh-teguh) sunnah itu dengan gigimu’.
Apabila warisan-warisan agung tersebut ‘di gigit dengan gigi graham’ maka akan tersingkaplah Islam Batin dan Tasauf. Tasauf yang benar adalah kebenaran hakiki yang menjadi pegangan dalam WahdatulWujud.
Ilmu Tasauf sesungguhnya perlu diberi zaman kegemilangannya kembali kerana di sinilah roh, nyawa dan jiwa Islam yang darinya adalah sumber kekuatan yang mengatasi seluruh kekuatan.Semua karya-karya tasauf hasil tangan ulama tasauf dan ahli sufi di seluruh khazanah Islam perlu diterbitkan semula termasuk hasil karya ulama tasauf pada zaman Kesultanan Islam Acheh, Pasai, Jawa, Patani dan Tanah Melayu. Inilah jalan kembali ke pangkal jalan, jalan penyelesaian dan perpaduan Melayu selagi masih ada benih iman di hati.
Marilah Bangsa Melayu sama-sama cuba mengenali kesilapan kenapa sehingga sekarang Bangsa Melayu dan umat Islam telah berpecah sebagaimana disabdakan oleh Nabi Muhammad saw empat belas abad yang silam:
Umat Yahudi telah berpecah belah menjadi tujuh puluh satu golongan,maka hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan yang tujuh puluh lagi akan masuk neraka.Umat Nasrani telah berpecah belah menjadi tujuh puluh dua golongan,maka tujuh puluh satu masuk neraka dan hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga.Demi Tuhan yang diriku di dalam kekuasaanNya, umatku akan berpecah belah menjadi tujuh puluh tiga golongan, hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan tujuh puluh dua lagi akan masuk neraka”.Sahabat bertanya:”Golongan mana yang selamat?”.Nabi saw menjawab:”Mereka adalah Jamaah”
Justru teramatlah sukar untuk melihat siapakah atau golongan manakah yang masih berpegang dengan ketulinan Jamaah - Ahlul Sunnah wal Jamaah. Pada zaman yang lampau umat Islam telah berpecah kepada golongan Qadariah, Jabariah, Syiah dan Muktazilah akibat tafsiran yang berlainan mengenai konsep metafizika dan ketuhanan dalam perbahasan ilmu kalam. Kemudian berlaku pula perpecahan dalam berbagai-bagai aliran-aliran tarikat tasauf yang pada mulanya bersumber dari amalan kerohanian Rasulullah saw dan para Sahabat rh. Kumpulan tarekat tasauf yang amalan zikirnya murni untuk mencapai mahabbah kepada Al Khalik, diresapi oleh pengaruh Azazil pada persimpangan makrifatullah.Di sinilah munculnya ajaran dan pelbagai konsep kepercayaan sesat yang cukup banyak melanda Bangsa Melayu.
Selain itu muncul pula berbagai-bagai gerakan agama di bawah pertubuhan berbagai-bagai badan dakwah, sosial, kebajikan, ekonomi dan politik di negara-negara umat Islam dan di antara mereka berlain-lainan pula haluan dan hala tuju dan saling pula – terutama gerakan politik – bertengkaran, berbalah-balahan, bermusuhan dan bertarung bahkan berbunuh-bunuhan, walhal masing-masing semuanya mendakwa Islam dan mempercayai sebagai umat Nabi Muhammad saw kerana masih ada di bibirnya ikrar dua kalimah syahadah. Inilah perpecahan kepada 73 golongan sebagaimana disabdakan oleh Penghulu Junjungan saw!
Demikianlah akibat serangan Barat yang mentadbir bumi umat Islam sehingga berbagai-bagai ideologi dan sistem Barat – sekularisme, kapitalisme, sosialisme, kuminisme, nasionalisme, liberalisme, pragmatisme, individualisme, utilitarianisme, eksistensialisme, egoisme, hedonisme dan sebagainya - yang telah menghuru-harakan sistem Al Quran dan Sunnah Rasulullah saw di kalangan umat Islam, terutama mengenai urusan hati nurani - akidah, kiblat hati dan pegangan hati umat Islam. Di manakah lagi perpaduan, ukhwah dan persaudaraan Islam sejagat? Dimanakah lagi golongan yang dinamakan Ahli Sunnah Wal Jamaah?
Siapakah lagi Jamaah kalau semua yang mengaku Ahlul Sunnah Wal Jamaah saling berbalahan, bertengkaran dan berbunuhan sesama sendiri? Siapakah lagi ‘saudara seagama’ kalau mengaku Ahlul Sunnah Wal Jamaah tapi saling tuduh-menuduh, kata-mengata, dengki-mendengki dan dendam-mendendam sesama sendiri? Siapakah lagi yang murni aqidahnya kalau semua yang asalkan tahu bersyahadah, pandai membaca Al Quran, bersolat, berpuasa dan menunaikan Fardhu Haji, masih lagi beranggapan ‘kami adalah Ahlul Sunnah Wal Jamaah?’ Siapakah lagi Ahlul Sunnah Wal Jamaah kalau menolak ajaran Tasauf kerana memfatwakan Tasauf Islam telah sesat dan menyeleweng kerana dipengaruhi aliran NeoPlatonisme, Hinduisme dan Buddhisme? Siapakah Ahlul Sunnah Wal Jamaah?
Bahawa sesungguhnya ini adalah persoalan akidah yang sangat tercabar! Umat Islam mesti mengetahui dengan jelas soal-soal yang samar di dalam akidah di sebalik kerajinan mengerjakan solat, puasa, haji dan umrah dan berbagai-bagai ibadah zahiriah. Umat Melayu mesti memahami soal-soal yang boleh membawa kecacatan iman atau membatalkannya - murtad,kufur, munafik, fasik, zindik, mulhid, atheis, free thinker serta berbagai-bagai racun dari budaya, cara hidup dan ideologi Barat.
Sesungguhnya inilah masalah akhir zamaan yang amat sulit.Masalah akidah! Jabir ra berkata: Rasulullah saw berpidato kepada kami. Beliau bersabda:”Barangsiapa membaca ‘laa illaha illallah’ yang tidak dicampurkannya dengan yang lain, nescaya haruslah baginya syurga”.
Lalu bangunlah Ali ra seraya berkata:”Demi ayah dan ibuku, wahai Rasulullah. Apakah yang tidak dicampurkan dengan yang lain? Terangkanlah kepada kami! Tafsirkanlah kepada kami!”
Nabi saw lalu bersabda:”Mencintai dunia dengan mencari dan mengikutnya. Suatu kaum yang mengatakan perkataan Nabi-Nabi tetapi berbuat perbuatan orang-orang zalim.Maka siapa yang membaca ‘laa illaha illallah’, yang tidak ada padanya sesuatu dari ini, nescaya haruslah baginya syurga”
(Ihya 7 hal.219)
Sekadar ‘haruslah baginya syurga’ kalau telah meninggalkan kecintaan kepada dunia dan sifat-sifat alim kucing. Fahamkanlah mengenai kedua-dua ini! Hingga diperingatkan oleh Nabi Muhammad saw:
Berapa banyak orang yang berdiri (melakukan solat), bahagiannya dari solat itu hanya penat dan lelah’.
‘Berapa banyak orang yang melakukan puasa, bahagiannya dari puasanya itu hanyalah lapar dan dahaga’.
Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah seumpama malam yang gelap. Seseorang yang masih beriman di waktu pagi, kemudian di waktu petang dia sudah menjadi kafir atau seseorang yang masih beriman di waktu petang, kemudian pada esok harinya ia sudah menjadi kafir. Ia telah menjual agamanya dengan sedikit dari mata benda'.
Bahawa sesungguhnya ini bukan sekadar masalah akidah orang biasa atau anak-anak muda yang liar dan alpa! Tapi masalah akidah golongan intelektual dan seluruh ummah! Kalau tidak demikian, masakan seawal abad ketiga Hijrah lagi, Al Harits al Muhasibi, guru kepada seorang wali Allah yang agung Al Junaid al Baghdadi, menggambarkan pencariannya dalam kitabnya Al Washaya wa al Nasha’ih al Diniyyah wa al Nafah’at al Qudsiyyah li Naf’i Jami’ al Bariyyah (Wasiat dan Nasihat Spiritual serta Anugerah Suci untuk Manusia) dalam usahanya untuk menemui kebenaran pada awal perjalanan tasaufnya:
`Sudah dinyatakan dengan jelas bahawa umat ini akan terbagi ke dalam tujuh puluh golongan lebih, salah satunya adalah Golongan Yang Selamat, dan Allah mengetahui golongan-golongan lainnya. Kuhabiskan separuh usiaku untuk mengkaji perbezaan berbagai kelompok umat ini secara mencari-cari metode yang jelas dan jalan yang lurus, menelaah ilmunya dan bertindak berdasarkan ilmu itu, serta dibimbing oleh para ulama ke jalan akhirat. Aku memahami sebahagian besar firman Allah melalui para mufasir para fukaha.Kurenungkan keadaan umat ini sambil mengamati pola fikir dan wacana yang mereka kembangkan sehingga aku memahami apa yang telah ditakdirkan untukku.
Golongan-golongan umat ini bagaikan lautan dalam yang telah menenggelamkan banyak orang dan hanya segelintir yang terselamatkan.Setiap golongan mengklaim keselamatan hanya milik pengikut mereka dan kehancuran akan menimpa setiap orang yang berlawanan dengan mereka.Aku melihat mereka terbagi ke dalam berbagai jenis golongan:
- Ada orang yang memiliki ilmu tentang akhirat – orang ini susah ditemukan dan sangat jarang.
- Ada orang yang bodoh; menjauhinya adalah barkah
- Ada orang yang berpura-pura seperti ulama, padahal tergila-gila pada dunia, dan kenyataannya ia lebih menyukai dunia daripada yang lainnya.
- Ada orang yang berilmu, dikenal taat beragama, tetapi mempergunakan ilmunya untuk mengais dan meraih kedudukan; ia memperjualbelikan agamanya demi sampah duniawi.
- Ada orang yang berilmu tetapi tidak mengetahui makna sejati ilmunya
- Ada orang yang tampil sebagai zahid, tidak cinta dunia, dan mencari kebaikan, tetapi ia tidak berdaya, ilmunya tidak dapat menembusi hati orang-orang yang mendengarnya, dan pandangan-pandangannya tak bisa diandalkan.
- Ada orang yang disebut pintar dan terpelajar, tetapi tidak bersikap warak dan takwa.
- Ada orang yang suka mengikut hawa nafsunya iaitu orang yang menghinakan diri demi dunia seraya terus mengejar kedudukan duniawi.
- Ada setan manusia yang menghalangi orang lain mencari akhirat, yang berjuang layaknya anjing untuk mendapatkan dunia, menjunjungnya tinggi-tinggi, dan satu-satunya keinginannya adalah mendapatkan dunia lebih banyak lagi. Mereka memang hidup di dunia ini, tetapi sebenarnya mereka telah mati. Mereka menyalahkan yang benar dan menyamakan hidup dengan mati’ (Tasauf dan Ihsan hal.66-67)
Sesungguhnya apabila akidah telah menjadi benar dan mantap, baguslah akhlak! Apabila akidah mantap, memancarkan amal soleh! Akidah, ibadah, akhlak dan amal solleh yang mukhlisin akan mengangkat darjat iman! Iman yang cemerlang membuka kepada mukasyafah dan dengan demikian selesailah masalah Wahdatul Wujud. Insyaallah!
Tetapi sebetulnya, siapakah sebenarnya Jamaah – Ahlul Sunnah Wal Jamaah? Ahlul Sunnah Wal Jamaah digambarkan sedikit sifat-sifat mereka seperti berikut berdasarkan sabda Nabi saw:
Mulanya Islam itu adalah asing (dagang) dan akan kembali asing seperti semula. Maka berbuat baiklah kepada orang-orang asing itu!” Maka ditanyakan kepada Nabi saw : “Siapakah orang-orang asing itu? Nabi saw menjawab: “Mereka yang memperbaiki apa yang telah dirusakkan oleh manusia dari sunnahku dan mereka menghidupkan apa yang telah dimatikan manusia dari sunnahku’.
Pada hadis lain: `Orang-orang asing itu berpegang teguh dengan apa yang kamu pegang sekarang’.
Pada hadis lain: `Orang-orang asing itu adalah manusia yang sedikit jumlahnya. Orang-orang baik di antara manusia banyak. Yang memarahi mereka lebih banyak daripada yang mencintainya’, Ihya Ulumiddin Jld.5 hal. 155
Maka carilah!
Tolehlah sejenak kepada masyarakat Islam pada abad pertama pada zaman Rasulullah saw dan zaman Para Sahabat ra! Mereka adalah asas ummah yang perkasa. Jadikanlah ayat berikut sebagai penawar jiwa:
Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah kamu bersedih hati; pada hal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang beriman’: (Ali Imran:139)
Lemah iman atau ketiadaan imanlah menyebabkan Bangsa Melayu sejak sekian lama menjadi hina, dan tertoleh-toleh mencari kiblat - Ahlul Sunnah Wal Jamaah, kerana keterpesonaan dan ketakjuban kepada indahnya pelangi dan fatamorgana!
Untuk orang beriman – diulangi – hanya orang beriman, ada hadiah yang dijanjikan oleh Allah Azzawajalla untuk zaman seterusnya.
‘‘Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa’ – An Nuur: 55
Janji Allah swt adalah suatu yang tetap pasti akan terjadi tetapi hanya akan terjadi setelah umat muslimin telah beriman dan beramal solleh. Inilah maksud kami melalui blog ini untuk mudah-mudahan Bangsa Melayu dan kaum muslimin seluruh dunia kembali beriman dan beramal solleh. Rasulullah saw telah menggambarkan episod-episod sejarah dunia selepas kewafatan Baginda saw mengikut kronologi seperti berikut:
· Zaman kenabian
· Zaman Khulafa ar Rasyidin atas manhaj kenabian.
· Zaman Kerajaan yang menggigit (Mulkan adhudhan)
· Zaman Kerajaan menyeleweng (Mulkan Jabbariyyan)
· Khalifah atas manhaj kenabian yang mengamalkan sunnah Rasul di kalangan manusia. Islam akan tersebar luas di muka bumi yang diredhai oleh penghuni langit dan bumi.Langit tidak akan meninggalkan setitis pun air hujan, kecuali ia mencurahkannya. Dan bumi tidak akan meninggalkan tanaman dan berkatnya kecuali ia akan mengeluarkannya(Raja-Raja Melayu hal.255)
Zaman ‘khalifah atas manhaj kenabian’ adalah zaman yang bakal tiba iaitu Kerajaan Imam Mahadi yang bakal memerintah hampir ke seluruh dunia. Akan tetapi sebelum tiba zaman kegemilangan tersebut, kebangkitan Islam bermula dari Timur. Hadis Nabi saw:
‘Kami ahlul-bait telah Allah swt pilih untuk kami akhirat lebih dari dunia.Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran sepeninggalanku kelak sehingga datangnya suatu kaum dari sebelah timur yang membawa bersama mereka panji-panji hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikan. Maka mereka pun berjuang dan memperoleh kemenangan lalu diberikan apa yang mereka minta itu, tetapi mereka tidak menerimanya, hingga mereka menyerahkannya kepada seorang lelaki dari kerabatku yang memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana bumi dipenuhi dengan kedurjanaan. Siapa di antara kamu yang sempat menemuinya maka datangilah mereka walaupun merangkak di atas salji. Sesungguhnya dia adalah Imam Mahadi’.
Sabda Baginda Rasulullah saw seterusnya:
‘Akan terjadi di akhir zaman Islam muncul dari sebelah timur’
Obor Islam akan bersinar pada zaman itu bersama `perutusan kembali’ Nabi Isa as. Firman Allah Taala:
Tidak seorang pun dari ahli Al Kitab kecuali akan beriman kepadanya (Isa) sebelum kematiannya. Dan di Hari Kiamat nanti Isa akan menjadi saksi terhadap mereka ’. (An Nisaa:157- 159)
Ingatlah bila mana Allah berfirman:’Hai Isa, sesunguhnya Aku akan menyampaikan kamu kepada akhir ajalmu dan mengangkatmu kepadaKu dan akan dibersihkan kamu daripada mereka yang kafir dan akan dijadikan orang-orang yang mengikutmu di atas mereka yang kafir hingga Hari Kiamat. Kemudian kepada Aku lah tempat kembali kamu, maka nanti Aku putuskan di antara kamu tentang yang diperselisihkan (isu pembunuhan dan penyaliban) ( Al Imran:55)
Hadis Rasulullah saw mengenai Nabi Isa as adalah seperti berikut:
Madinah akan membuangkan kekotoran daripadanya seperti alat peniup api membuangkan kekotoran dari besi. Pada hari itu akan dikatakan hari kelepasan.Maka bertanya Ummu Syurai:”Di manakah orang Arab wahai Rasulullah pada waktu itu?”. Berkata Nabi saw: ”Mereka pada waktu itu sedikit kerana kebanyakan mereka ada di Baitulmuqaddis dan Imam mereka ‘Mahdi’, seorang lelaki yang solleh. Sewaktu Imam mereka tampil ke hadapan hendak sembahyang subuh dengan mereka itu, tiba-tiba Isa bin Maryam turun kepada mereka pada waktu subuh itu. Maka Imam itu pun undur ke belakang supaya Isa tampil ke hadapan.Maka Isa pun meletakkan tangannya di antara dua bahu (Imam Mahadi) sambil berkata kepadanya:”Pergilah ke hadapan bersembahyang, kerana ia didirikan untuk kamu”. Maka ia pun sembahyang menjadi Imam mereka’
Demikianlah antara gambaran dari Al Quran dan Sabda Rasulullah saw mengenai apa yang bakal terjadi dan semuanya itu digambarkan akan bermula dari bumi sebelah Timur.Ahlul Bait Rasulullah saw ada di sebelah Timur dari keturunan Saidina al Husin ra. Sejak ratusan tahun keturunan dari zuriat dan zat suci Rasulullah saw telah berada di Alam Melayu dan memainkan peranan penting sebagai pendakwah dalam penyebaran Islam dan menginstitusikan Raja-Raja Melayu dan Kesultanan di seluruh Alam Melayu pada zaman kedaulatan.
Semoga Allah swt melimpahkan rahmatNya kepada Ahlul Bait! Semoga Allah swt melimpahkan rahmatNya juga bagi Bangsa Melayu! Dan semoga rahmat yang sama bagi kaum muslimin semuanya! Amin

No comments:

ghuraba`

Rasulullah bersabda (yang artinya), "Sesungguhnya Islam pertama kali muncul dalam keadaaan asing dan nanti akan kembali asing sebagaimana semula. Maka berbahagialah orang-orang yang asing (alghuroba')."(hadits shahih riwayat Muslim)

"Berbahagialah orang-orang yang asing (alghuroba'). (Mereka adalah) orang-orang shalih yang berada di tengah orang-orang yang berperangai buruk. Dan orang yang memusuhinya lebih banyak daripada yang mengikuti mereka."(hadits shahih riwayat Ahmad)

"Berbahagialah orang-orang yang asing (alghuroba'). Yaitu mereka yang mengadakan perbaikan (ishlah) ketika manusia rusak."(hadits shahih riwayat Abu Amr Ad Dani dan Al Ajurry)

Hiraq Karmila

Hiraq Karmila
Makanan Sunnah (014 8290036) (FAHMI)